Tahukah anda bahawa sekira-kiranya empat daripada lima orang yang telah mengalami kepatahan tulang tidak menjalani ujian untuk mengesahkan atau tidak menerima rawatan untuk osteoprosis.?1 Kehilangan tulang tidak menyakitkan, berlaku secara beransur-ansur tanpa sebarang simptom, jadi anda tidak berasa tulang anda menjadi lemah. Itulah yang berlaku pada Freda. Mari kita ketahui kisah selanjutnya.
Bulan lepas, Freda terjatuh ketika berada di pusat membeli-belah lalu patah pergelangan kakinya. Semasa di hospital, Freda diberitahu bahawa kepatahan tulang disebabkan kejatuhan ringan itu adalah tanda amaran osteoporosis. Dia dinasihatkan supaya berjumpa doktor keluarganya dan mendapatkan penilaian osteoporosis. Dia terkejut kerana menganggap dirinya cukup sihat bagi seorang wanita yang berumur 64 tahun – dia bersenam dengan kerap, makan dengan seimbang dan menjaga diri sendirinya dengan baik. “Tak mungkin saya menghidap osteoporosis, itu adalah penyakit orang tua” fikirnya.
Oleh sebab Freda berumur lebih daripada 50 tahun dan pernah mengalami fraktur kerapuhan (patah pergelangan kaki), doktornya boleh membuat diagnosis osteoporosis dengan serta-merta. Ia juga penting untuk menyelidik punca-punca lain yang menyebabkan tulangnya lemah dan melakukan imbasan tulang yang ringkas bagi mengukur ketumpatan tulangnya.2 Ujian ini dipanggil DEXA (Dual-Energy X-ray Absorptiometry). Ujian itu menunjukkan bahawa ketumpatan tulang Freda adalah lebih rendah daripada biasa dan mengesahkan bahawa dia menghidap osteoporosis.
Di samping itu, sejarah perubatan dan sejarah keluarganya juga menunjukkan bahawa Freda mempunyai faktor risiko lain untuk menghidap osteoporosis. “Menurut doktor, saya mula menopaus lebih awal daripada kebanyakan wanita lain, dan kami juga menyedari bahawa ibu saya juga mungkin menghidap osteoporosis kerana tulang pinggulnya patah ketika dia berusia enam puluhan”.
Doktor mencadangkan supaya Freda mengambil ubat preskripsi untuk merawat osteoporosis. Ubat-ubat ini berfungsi dengan cara yang berbeza, bergantung pada jenis ubat yang dipreskripsikan. Kebanyakannya bertindak dengan mengurangkan keaktifan osteoklas, iaitu sel-sel yang mengurai tulang. Rawatan osteoporosis dapat mengurangkan risiko patah tulang sehingga sebanyak 70%, bergantung pada jenis fraktur.3,4
Kini, Freda tahu bahawa untuk melindungi dan membina kekuatan tulangnya, ubat osteoporosis yang telah dipreskripsikan oleh doktornya mungkin perlu diambil selama bertahun-tahun.5 Kehilangan ketumpatan tulang telah berlaku dalam tempoh yang lama dan ia pasti akan mengambil masa untuk membina semula kekuatan tulang.
Freda mengambil langkah-langkah lain untuk meningkatkan kekuatan tulangnya. Anda juga boleh lakukan perkara yang sama.6,7
*Freda adalah watak rekaan semata-mata
References
1 International Osteoporosis Foundation. Facts and statistics. osteoporosis.foundation/facts-statistics
2 Camacho PM, et al. Endocr Pract 2016;22:1–42.
3 Kanis JA, et al. Osteoporos Int 2013;24:23–57.
4 Black DM, et al. N Engl J Med 2007;356:1809–22.
5 International Osteoporosis Foundation. Treatment. osteoporosis.foundation/patients/treatment
6 International Osteoporosis Foundation. Love your bones: Protect your future. 2016. osteoporosis.foundation/educational-hub/material/brochures
7 Healthy Bones Australia. Osteoporosis treatment and bone health. healthybonesaustralia.org.au.