IBU SAYA MENGHIDAP OSTEOPOROSIS – BAGAIMANA SAYA BOLEH MEMBANTU?
Banner

Apabila ibu atau ahli keluarga anda didiagnosis menghidap osteoporosis, sudah tentu anda berasa risau atau bimbang, terutamanya apabila memikirkan tentang kesannya terhadap kehidupan harian mereka dan bagaimana anda dapat membantu mereka. Seperti mana-mana penyakit kronik yang lain, terdapat strategi yang boleh dilaksanakan untuk membantu menangani keadaan tersebut. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan bersama-sama!

Fahami ubatnya dan bantu dia meneruskan rawatan

Apabila seseorang didiagnosis menghidap osteoporosis, doktor mereka akan menentukan risiko fraktur mereka secara keseluruhannya dan kemudian menentukan pelan rawatan yang terbaik. Ini mungkin merangkumi ubat preskripsi yang akan membantu meningkatkan kekuatan tulang mereka dan mengurangkan risiko kepatahan tulang yang selanjutnya. Doktor mereka juga mungkin mencadangkan agar mereka mengambil suplemen kalsium dan vitamin D yang penting untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat.1,2

Seperti kebanyakan penyakit kronik, ubat osteoporosis hanya berkesan sekiranya ia diambil secara berterusan mengikut arahan dan selagi ia diperlukan. Kegagalan untuk meneruskan terapi akan meningkatkan risiko fraktur, termasuk fraktur tulang pinggul dan tulang vertebra, yang boleh memberi kesan terhadap pergerakan dan kualiti kehidupan ibu anda.3,4 Bantu ibu anda untuk mengambil ubatnya seperti yang diarahkan oleh doktornya – anda mungkin boleh berbuat demikian dengan menetapkan peringatan di telefon atau diari anda!

Bantu ibu anda untuk mengelakkannya daripada terjatuh

Apabila seseorang menghidap osteoporosis, jatuh dari ketinggian rendah atau terlanggar sesuatu boleh menyebabkan patah tulang. Jatuh adalah punca utama fraktur, dengan 90% fraktur tulang pinggul berpunca daripada jatuh.1 Bantu ibu anda mengenal pasti “bahaya jatuh” di rumah dan persekitarannya untuk mengurangkan risiko terjatuh. Klik di sini untuk mendapatkan beberapa petua bagi mengelakkan jatuh.

Lakukan beberapa perubahan gaya hidup yang ringkas bersama-sama!

Doktor ibu anda akan mencadangkan perubahan gaya hidup yang ringkas di samping pengambilan ubat osteoporosis bagi mengekalkan kesihatan tulangnya dan membantu mengurangkan risiko jatuh.1 Ketiga-tiga perkara ini adalah penting untuk mengoptimumkan kesihatan tulang pada mana-mana peringkat kehidupan di samping berpotensi mengurangkan risiko osteoporosis – mengapa tidak lakukannya bersama-sama?

1. Makan pemakanan yang seimbang – termasuk banyak kalsium dan vitamin D:

Nutrien ini bertindak seiringan untuk mengekalkan kekuatan tulang. Makan pemakanan yang sihat dengan 3–5 hidangan kalsium daripada produk tenusu, sayuran berdaun hijau, ikan, kacang dan makanan yang diperkayakan kalsium. Kekalkan paras vitamin D melalui pendedahan yang selamat kepada cahaya matahari.5,6

2. Bantu ibu anda untuk bersenam dengan selamat:

Senaman yang kerap dapat membantu memperbaiki koordinasi, keseimbangan dan kekuatan, yang seterusnya membantu mencegah jatuh, serta bermanfaat untuk pemulihan selepas fraktur.2 Muat turun panduan Senaman Mencegah Fraktur untuk mendapatkan beberapa petua hebat sebelum bermula. Pakar fisioterapi juga boleh membantu menyusun program senaman yang sesuai.

3. Hadkan pengambilan alkohol dan elakkan merokok:

Pengambilan alkohol yang berlebihan berpotensi menjejaskan pembinaan tulang. Ia juga boleh meningkatkan risiko anda jatuh dan patah tulang. Di samping itu, bahan kimia dalam rokok boleh memudaratkan sel-sel tulang anda, menjadikannya lebih sukar untuk tulang anda menyerap kalsium. Oleh itu, mengurangkan pengambilan alkohol dan mengelakkan merokok adalah langkah-langkah yang wajar bagi meningkatkan kesihatan tulang anda dan ibu anda.1

Di mana boleh saya mendapatkan maklumat lanjut dan sokongan?

  • Doktor ibu anda: galakkan ibu anda untuk menjalin hubungan yang baik dengan doktornya. Osteoporosis adalah penyakit kronik dan ramai orang mungkin perlu mengambil ubat osteoporosis selama bertahun-tahun. Profesional penjagaan kesihatan hendaklah sentiasa diutamakan sekiranya anda atau ibu anda mempunyai sebarang soalan.
  • Yayasan Osteoporosis Antarabangsa: ini adalah institusi global yang menggabungkan persatuan pesakit, organisasi penyelidikan, profesional penjagaan kesihatan dan syarikat-syarikat antarabangsa yang bekerjasama untuk mempromosikan kesihatan tulang, otot dan sendi akibat osteoporosis. www.iofbonehealth.org

SG-01806-PRO-2020-April

RECENT POSTS

References

1 International Osteoporosis Foundation. Love your bones: Protect your future. 2016. osteoporosis.foundation/educational-hub/material/brochures

2 Healthy Bones Australia. Osteoporosis treatment and bone health. healthybonesaustralia.org.au.

3 International Osteoporosis Foundation. Treatment. osteoporosis.foundation/patients/treatment

4 Liu J, et al. Osteoporos Int 2018;29:2409–17.

5 International Osteoporosis Foundation. Calcium. osteoporosis.foundation/patients/prevention/calcium.

6 International Osteoporosis Foundation. Vitamin D. osteoporosis.foundation/patients/prevention/vitamin-d.

7 Healthy Bones Australia. Exercise and bone health. healthybonesaustralia.org.au.